Written by kakeru on April 7, 2008 – 11:59 pm

Buku ini telah ditulis oleh Persatuan pengguna Pulau Pinang (CAP). Satu buku yang saya kira agak bagus sebagai satu langkah untuk melakukan bajet seharian.
Pelbagai masalah yang timbul akibat daripada penggunaan wang secara tidak berhemah telah dinyatakan di sini. Beberapa langkah untuk mengatasi masalah kewangan turut dibincangkan di dalam beberapa tajuk yang tertentu.
Di antara masalah kewangan yang selalu dihadapi oleh majoriti rakyat
Penggunaan kad kredit, pembayaran melalui sistem ansuran yang kebanyakannya menyebabkan kita tidak sedar bahawa kita telah pun mencuri wang kita sedikit demi sedikit di masa akan datang.
Anehnya kita kerana masih tidak peka terhadap kedudukan kewangan sendiri di masa hadapan. Masalah hutang keliling pinggang dan beberapa hutang lapuk yang sedia ada tidak dapat kita jelaskan secepat mungkin.
Tahukah anda kenapa keadaan seperti ini berlaku? Ini kerana kita sentiasa terpengaruh untuk memanjangkan senarai hutang setiap hari. Mengapa agaknya? Selalu kita buat begini adalah untuk memuaskan hati pandangan mata orang lain.
Kadangkala kita buat kerana kita rasa corak kehidupan yang tampak mewah sebegini bersesuaian dengan kedudukan kita. Kita ingatkan kita adalah pengguna bijak dengan keadaan sebegini, tetapi sebenarnya kitalah pengguna terpijak. Awas ya!
Ulasan Saya
Di dalam buku ini juga kita didedahkan dengan pengetahuan mengenai insurans/ takaful. Dengan mengandaikan bahawa orang bujang adalah tidak memerlukan perlindungan insurans/ takaful sebenarnya adalah suatu kenyataan yang tidak tepat.
Mengapa saya katakan ia tidak tepat? Sebenarnya, perlindungan insurans/ takaful ialah suatu perkara yang lebih baik untuk setiap daripada kita. Lebih muda adalah suatu faktor yang terbaik untuk memulakan polisi sebegini. Anda setuju?
Sebenarnya polisi perlindungan di usia muda dapat memberikan pelbagai keuntungan yang lebih buat kita. Ini kerana kita tidak dibebani dengan pelbagai masalah berbanding dengan orang yang telah berkeluarga.
Kedudukan orang muda juga kurang ditimpa dengan penyakit menyebabkan mereka lebih mudah untuk mendapat polisi perlindungan. Jika anda telah berusia ditambah pula menghidap penyakit yang agak kritikal, ada dua kemungkinan bagi anda apabila anda ingin memohon polisi sebegini.
Pertama, permohonan anda mungkin ditolak kerana syarikat insurans/ takaful tidak mampu menangung kos rawatan penyakit kritikal anda. Kedua, permohonan diterima tetapi rawatan untuk penyakit kritikal yang sedang anda hidap adalah dikecualikan.
Apa yang selalunya terjadi ialah kebarangkalian permohonan anda untuk ditolak adalah sangat tinggi. Ya, tiada siapa yang akan menanggung anda untuk penyakit kritikal tersebut.
Keadaan sebegini menunjukkan seperti kedudukan anda adalah terdesak untuk membayar bil-bil rawatan penyakit yang sedang anda lalui. Disebabkan itu anda terpaksa memiliki polisi sebegini semata-mata untuk membayar bil-bil rawatan anda. Tentulah permohonan tersebut akan ditolak!
Pesanan saya, sediakanlah payung sebelum hujan. Jangan pula sudah terhantuk baru nak tergadah nanti. Dan jangan pula salahkan saya kerana tidak memberitahu anda lebih awal. Andalah insan yang bertanggungjawab untuk kesalahan anda sendiri!
Saya juga turut mengambil langkah berjaga-jaga sebegini. Selaku seorang muslim, saya mendapatkan perlindungan takaful bagi diri saya. Sekurang-kurangnya saya boleh mendapat simpanan bersih setelah ditolak dengan zakat ketika tempoh matang nanti. Tambahan lagi, amal jariah saya sudah dikira sebagai bonus dalam membantu sesama muslim.
Hmm, tenang rasanya…harapan saya anda juga begitu!



































