Dame Zoete Sarah
Tajuk : Dame Zoete Sarah
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Penulis : Khairyn Othman
Harga : RM18
Tebal : 426 halaman
Rating : 4/ 5
Watak Utama:
1) Sarah Adam: Watak penting di dalam novel ini. Merupakan seorang wartawan yang begitu berdedikasi terhadap kerjayanya namun telah menjadi mangsa keadaan. Dia telah menjadi suspek utama yang paling dikehendaki oleh pihak polis dan sindiket dadah antarabangsa di dalam pelbagai siri rentetan kejadian yang berkaitan dengan dadah. Kes tersebut turut bersangkut-paut dengan kes kematian kenalannya.
2) Suryati: Rakan baik Sarah yang turut keliru dengan tuduhan pihak polis yang sentiasa mencari bukti bagi mengaitkan Sarah dengan pelbagai tuduhan.
3) Salim: Pegawai polis yang bertugas untuk memburu Sarah dalam menghuraikan pelbagai kes jenayah dadah yang berat.
4) Kamal: Rakan baik Salim yang secara tidak langsung mengikuti perkembangan kes jenayah yang melibatkan Sarah Adam.
5) Rod: Ahli kimia yang secara tak sengaja telah mencampakkan masalah berat buat Sarah. Dia merupakan orang yang bertanggungjawab dalam menghasilkan Manis, formula dadah yang terbaru untuk satu sindiket dadah antarabangsa. Sindiket tersebut turut didalangi oleh seorang ahli kabinet yang bergelar Dato’.
Sinopsis
Novel ini mengisahkan kisah hidup seorang insan biasa yang punya semangat juang yang tinggi untuk terus survive dengan cara yang tersendiri. Sarah Adam, seorang wartawan yang berhati waja penuh cekal dalam meniti segala tuduhan berat yang mampu mampu membawanya ke tali gantung jika disabit kesalahan.
Sebentar sahaja namanya penuh meniti dada-dada akhbar tempatan di atas beberapa pertuduhan, mengedar dadah dan membunuh! Kes yang bermula dengan satu babak ragut, kematian penagih dadah hinggalah kepada kes rumahnya yang digeledah orang.
Rupa-rupanya, dalam diam segala gerak-gerinya diperhatikan oleh beberapa orang mata-mata gelap. Dia menjadi buruan oleh kedua-dua pihak yang mengaitkan dirinya dengan Rod, seorang penganggur yang hidup serba kemewahan namun mati akibat OD.
Kematian terancang Zaid yang kononnya akibat menagih dadah telah menyebabkan dia bertekad untuk menjejaki bahan tinggalan Rod. Tapi di mana? Cuma ada satu kad kuning berklu untuk menjejak bahan buruan tersebut dan dia adalah kunci yang mampu menyingkapnya.
KAST telah menyebabkannya terbang jauh ke Belanda sebagai Haryati, dikhianati oleh Pak Lukman, diburu oleh ‘dua biji coklat’ Belgium semata-mata untuk membebaskannya daripada tuduhan pihak polis tempatan dan buruan sindiket dadah antarabangsa. Nyawanya bagai di hujung tanduk!
