Didik Anak Urus Wang

Siti Faaizah Ismail
PTS Professional Publishing Sdn Bhd
RM 15.00 / RM 18.00 (Sabah & Sarawak)
112 muka
(Boleh didapati di cawangan MPH Book Stores yang berhampiran, www.bookcafe.com.my dan juga www.e-kedai.net)
Penulis buku ini ialah Siti Faaizah Ismail, seorang Penolng Pengurus, Unit Sistem Kewangan di Menara TM. Memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Multimedia.
Penulis yang berkecenderungan di dalam bidang ekonomi dan kewangan di samping minat yang mendalam di dalam bidang penulisan berjaya membukakan minda kita di dalam mendidik anak-anak untuk mengurus wang.
Buku ini banyak memberi penerangan bagaimanakah cara yang terbaik bagi ibu bapa untuk memperkenalkan konsep kewangan kepada kanak-kanak. Bagaimana pula kita dapat merekod sistem elaun, belanjawan serta penerangan mengenai konsep pelaburan juga turut diketengahkan di dalam buku ini. Konsep yang dibincangkan di dalam buku ini kelihatan agak simple tetapi mudah untuk dipraktikkan.
Keseluruhannya, buku ini memberi idea yang agak kreatif dalam menjana sebuah keluarga yang bijak mengurus wang. Sekurang-kurangnya anak-anak anda akan tahu selok-belok mengenai dunia kewangan bermula dari usia yang masih muda lagi.
Ulasan Saya
Buku ini dapat memberi sedikit idea kepada pihak ibu bapa akan cara-cara yang terbaik dalam memperkenalkan anak-anak dengan dunia kewangan. Kadang-kala, disebabkan oleh keadaan ibu bapa yang kekurangan sumber ilmu seperti ini hanya akan menyebabkan anak-anak tidak kenal konsep wang sebenar.
Anak-anak yang tidak diajarkan ilmu berkaitan dengan wang dari kecil mempunyai harapan yang tinggi untuk terjebak di dalam aktiviti yang kurang menghargai harga wang yang diberikan kepadanya setiap bulan.
Mengapa agaknya ya? Ini disebabkan oleh ketiadaan ilmu tentang wang. Maka rasa untuk menghargai wang tentulah tidak ada walau sekelumit pun.
Apa yang mereka tahu ialah menghabiskan wang yang diberikan untuk aktiviti yang tidak bermanfaat dan memintanya kembali kepada anda (ibu bapa) sekiranya wang sudah habis dibelanjakan.
Jika begini keadaannya, wang yang mereka ada pasti tidak akan ke mana. Ke dalam akaun simpanan tidak, untuk dilaburkan pun tidak mungkin. Silap siapakah agaknya jika keadaan sebegini berlaku kepada anak anda sendiri?
Cara yang terbaik untuk mendidik anak anda bermula dari rumah lagi. Konsep elaun yang diajarkan di dalam buku ini amat bersesuaian untuk semua peringkat umur. Namun ia hendaklah disesuaikan dengan umur anak-anak itu sendiri. Bagi saya, adalah tidak adil jika anda memberi elaun yang banyak kepada anak yang lebih kecil usianya.
Terdapat pelbagai lagi idea yang diutarakan di sini. Bermula dengan perancangan yang betul, terus kepada mengurus dan merekod belanjawan, saya pasti anak anda akan mempunyai minda seorang usahawan pula kelak.
Apa tidaknya, usahawan merupakan seorang yang kreatif dan bijak mengurus duit. Adalah tidak bermakna jika anda punya banyak wang, anda adalah orang yang hebat.
Orang yang hebat adalah orang yang bijak menguruskan kewangannya tidak kiralah betapa sedikit pun pendapatan anda. Kuncinya adalah disiplin, bijak merancang dan kreatif yang ditambahi dengan ilmu, itu sahaja. Setujukah anda?
Wah nampak cam best je book nie
…Jimat duit sejak dari kecil memang perlu kerana ianya akan dipupuk semasa dah dewasa kelak
Betul tu Dauz. Buku ini memang best, boleh ajar kat budak2 kecil zaman sekarang. Ingat nak apply kat adik2 kat umah nanti, kalaupun tak dapat bergelar usahawan, dapat buka minda depa pun ok gak!