Written by kakeru on July 14, 2008 – 11:53 pm
Novel yang ditulis oleh Imaen ini memaparkan kisah pembunuhan bersiri yang sangat tragis. Watak utama novel ini ialah Kamal selaku seorang pegawai polis ditemani oleh Hanani, seorang detektif wanita yang berperwatakan kasar beserta seorang rakan sepasukan mereka, Salman.
Kes pembunuhan bersiri ini menemui jalan yang buntu disebabkan oleh kelicikan pembunuh tanpa meninggalkan sebarang tanda untuk dijejaki. Keadaan mangsa pembunuhan kejam ini memang sangat mengerikan.
Mayat tanpa kepala ini dibiar bersama hamburan darah yang melata tanpa seurat benang pun. Keadaan kepala yang hancur bersepai dihentak dengan penukul, sledge hammer turut menyukarkan gerakan untuk mengenalpasti identiti mangsa.
Hasil daripada bantuan tenaga forensik, Doktor Nawawi sedikit demi sedikit membongkarkan identiti si pembunuh kejam. Pembunuh dikenalpasti sebagai seseorang yang mempunyai saiz tapak kaki yang tidak sama besar juga merupakan seorang yang amat mementingkan kesihatan. Manakala, kesemua mangsa pula dikenalpasti terlibat dengan aktiviti gay dan homoseks.
Pakar dalam bidang linguistik forensik, Doktor Muhammad Dani juga memberikan kerjasama yang baik dalam membantu siasatan. Menurut kajian berdasarkan kepada tulisan tangan dan sajak yang ditulis oleh pembunuh, beliau dikatakan merupakan seorang penari balet yang amat mahir.
Sajak tersebut seolah-olah memberikan alasan untuk si pembunuh terus membunuh atas nama keadilan. Turut diselidiki ialah pembunuh juga dikenalpasti sebagai seseorang yang pernah mendapat pendidikan berkaitan dengan undang-undang.
Anehnya, pembunuh seolah-olah tahu pergerakan pihak polis dalam menyiasat kes tersebut. Hanya ada dua kesimpulan di sini, pembunuh menggunakan ilmu deria keenam/ kuasa psikik untuk menghalang dirinya diburu polis. Atau dalang sebenar ada di antara pasukan penyiasat itu sendiri�
Pendapat saya
Buku ini memaparkan kisah pembunuhan kejam bersiri yang jarang dikarang oleh penulis novel Melayu. Apa yang menarik ialah cara menyiasat yang dijalankan oleh berberapa pihak termasuklah seorang doktor forensik dan pakar dalam bidang linguistik forensik.
Namun pada pendapat saya, ada beberapa aspek yang kurang diberi perhatian di dalam perjalanan kisah ini. Walaupun novel ini merupakan satu kisah pembunuhan yang agak tragis, namun ia kurang memaparkan keadaan sebenar yang mengarah kepada pembunuhan yang kejam dalam siri penyiasatan.
Banyak aspek lain yang turut disertakan di dalam novel ini termasuklah aspek kekeluargaan, percintaan, agama, perbezaan pemikiran dan pelbagai lagi. Saya tidak tahu untuk menganggapkan keadaan ini sebagai satu kelebihan atau kekurangan bagi novel ini atau tidak.
Bagi saya, adalah lebih baik penulisan ini menjurus kepada kisah penyiasatan dan pembunuhan sahaja supaya tema novel ini dapat dikekalkan. Jika tema ini dapat dikekalkan, tentulah beberapa persoalan di bawah ini dapat dirungkaikan dengan lebih jelas. Antaranya ialah:
- Apakah yang menyebabkan si pembunuh melakukan siri pembunuhan kejam tersebut? Adakah disebabkan pembunuh merupakan seorang yang kurang siuman? Tiada penerangan mengenainya.
- Bagaimanakah dia dapat melakukannya? Perjalanan kisah agak samar-samar membuatkan kisah ini kelihatan agak kurang lengkap dan tidak mendebarkan.
- Sifat sebenar pembunuh tidak diterangkan dengan lebih jelas. Adakah hanya untuk mengelirukan pembaca? Atau pembunuh memang memiliki dua identiti yang berbeza?
Saya amat berharap, penulis dapat menekankan beberapa aspek yang tertentu bergantung kepada tema penulisannya di masa akan datang. Jika tema ini selari dengan jalan cerita dan ditambah pula dengan beberapa aksi hasil daripada kajian yang mendalam mengenai jenayah pembunuhan, undang-undang, kajian kes pembunuhan dan lain-lain yang berkaitan, tentu ia akan lebih terkesan di hati pembaca.
Saya mengharapkan akan ada hasil novel pembunuhan/ aksi yang digarap sebaiknya seperti kisah Hanibal Lecter atau Novel Hatiku di Harajuku (karya Ramlee Awang Murshid).
Jika ada kajian mengenai kes-kes jenayah, pembunuhan atau apa sahaja yang berkaitan, tentu menarik jika dapat dikongsikan bersama. Garapan hasil kajian yang disentuh dengan hasil penulisan yang baik tentu sahaja memberi impak kepada pembaca. Ini boleh dilihat melalui karya-karya Faisal Tehrani, hasil kajian sejarah/ ilmu beliau memang membangkitkan mood pembaca untuk terus membaca.
Kepada Imaen, saya percaya karya anda tetap dapat memberikan kelainan untuk pembaca. Walaupun novel ini kurang mendebarkan, namun ia bersifat santai untuk dibaca. Mungkin selari dengan tema asal buku ini, romantis-thriller. Anyhow, selamat berkarya dan teruskan menulis!



































lamanya tak online kakeru…

bz ker?
Salam Rohaizad,
Bukan dah lama tak online Rohaizad, cuma dah lama tak letak post baru kat sini..huhu… saya still ada, tapi cuba cek kat http://blog.readercircle.com la eh