My Story

Buku ini merupakan sebuah kisah benar sebuah realiti kehidupan, diceritakan kembali oleh seorang pakar motivasi jiwa yang terkenal iaitu Dave Pelzer. Merupakan sebuah karya teragung beliau bermula dari zaman kanak-kanak sehinggalah beliau menginjak dewasa. Kisah ini merupakan antara ribuan kisah benar kes penderaan kanak-kanak yang pernah berlaku di Barat. Bermula daripada seorang kanak-kanak yang ceria yang mempunyai ibu bapa yang penyayang, Dave membesar dengan keadaan yang baik. Segalanya berubah akibat daripada perubahan watak ibunya daripada seorang wanita yang penyayang dan lemah lembut kepada seorang perempuan yang tidak berhati perut menyebabkan hidup Dave sengsara dan derita. Hari-hari yang dilaluinya bagaikan sebuah mimpi ngeri yang penuh dengan kepayahan. Hidupnya hanyalah bersulamkan derita dan air mata akibat daripada perbuatan ibunya yang tidak bertanggungjawab, dia sudah lali dengan segala sepak terajang, maki hamun dan caci maki seorang insan yang bergelar ibu. Sekolah bagaikan syurganya kerana ada guru-guru yang sering mengambil berat dan bertanyakan khabar dirinya, tempat untuk dia bermain-main dan bersukaria seperti kanak-kanak seusianya. Walaubagaimanapun, pelbagai amaran akan diberikan oleh The Mother untuk menyekat kebebasannya dan menjadi kewajipan baginya untuk menuruti segala perintah tersebut. Jika engkar, buruklah padahnya.
Kehidupan Dave hanya berubah setelah diselamatkan oleh beberapa orang guru yang bertanggungjawab di sekolahnya dan segalanya berakhir. Pengalaman tersebut sedikit demi sedikit mengajar Dave menjadi seorang insan yang tabah dan bertanggungjawab. Dengan penuh rasa tanggungjawab, beliau mula mengendalikan ceramah mengenai kes-kes penderaan kanak-kanak semata-mata untuk menyedarkan orang di sekililingnya mengenai kesan kes-kes sebegini terhadapan pembangunan mental kanak-kanak. Buku ini mengungkap segala kisah suka duka Dave, cabaran hidup seorang kanak-kanak mangsa penderaan. Apakah kesudahan cerita ini? Bagaimanakah hubungan antara Dave dan ibunya setelah dia menginjak dewasa? Kompilasi tiga buah buku ini merupakan karya agung realiti kehidupan yang harus kita selami. Ya, kanak-kanak itu suci. Jangan coretkan hidup mereka dengan calitan hitam kerana putih lebih baik.