Yuda di Padang Maya

Sinopsis
Yuda di Padang Maya mengisahkan pengembaraan tiga sekawan melewati alam Jin semata-mata untuk menyelamatkan junior kolej mereka yang telah diculik. Keadaan memaksa Zamsari, Amsyar dan Riduan untuk membantu Azmi keluar dari alam aneh yang tak pernah difikirkan mereka selama ini.
Kisah bermula ekoran dari beberapa peristiwa pelik yang telah berlaku di rumah lama yang telah disewa oleh Zamsari, Amsyar dan Riduan seawal semester baru. Rentetan daripada peristiwa tersebut, Azmi yang mempunyai sedikit kepakaran dalam mengubati mangsa histeria dipanggil untuk menyelamatkan keadaan.
Peristiwa yang dianggap biasa bagi sebuah rumah yang telah setahun dibiar tidak berpenghuni tidak berhenti di situ sahaja. Malah ia menyingkap pelbagai lagi kisah lama yang pernah berlaku bertahun-tahun dahulu yang berkaitan dengan kes kematian tuan rumah, kehilangan Makcik Mastura dan misteri Balqis.
Pernyataan Azmi sememangnya menimbulkan seribu satu tanda tanya di hati Pakcik Karim. Selaku saudara terdekat, cerita Azmi mengenai permintaan Balqis untuk menyelamatkan ibunya yang sakit tenat bertahun-tahun lamanya amat tak masuk dek akal. Apatah lagi jika ketika itu Balqis masih lagi berada di UK, bukannya di USM seperti yang didakwa oleh Azmi.
Ketiadaan Balqis juga turut disahkan oleh Arissa, gadis buta yang tinggal berjiran dengan tiga sekawan. Apa yang lebih memeningkan Azmi lagi apabila Arissa menceritakan kisah sebenar susur-galur kejadian tersebut malah turut merungkai kisah ‘Balqis’ yang telah bersua muka dengan Azmi beberapa hari sebelumnya.
Akhirnya, perbincangan serius antara Arissa dengan Azmi membuahkan satu usul yang mustahil. Usul tersebut bukan setakat bagi menyelamatkan Makcik Mastura, malah untuk membebaskan Azmi yang telah diculik ke alam Jin. Keadaan begitu memaksa meskipun rancangan tersebut di luar pengetahuan dan keizinan daripada Pakcik Karim sendiri.
Soalnya, siapakah sebenarnya Balqis yang bersinggah di hati Azmi? Apa kaitannya dengan Puteri Silfia, anak gadis keturunan Alfrit di dunia sama’? Siapakah Alexander Al-Mansuri yang bersungguh-sungguh memandu Amsyar menentang Golrol? Apakah agenda sebenar Arissa yang sebegitu berani mencaturkan laluan maut buat mereka bertiga?
Di sinilah bermulanya yuda di padang maya yang akhirnya membawa kematian Zamsari dan Riduan. Hanya Amsyar yang bermati-matian berjuang menentang satu kuasa jahat di suatu daerah lembangan dalam usaha menyelamatkan Azmi. Rasanya, baru semalam dia bergelak ketawa dengan dua orang sahabat yang disayangi, namun segalanya bagai sudah tiada lagi…
Ulasan Saya
Yuda di Padang Maya telah digarap dan diolah dengan baik sekali oleh Xarine. Babak-babak penceritakan di dalam novel ini kelihatan sangat hidup dan membuatkan saya senang berimaginasi di dunianya. Apa yang menarik, novel ini bukanlah kisah pengembaraan ke suatu alam misteri yang agak typical, stereotype dan dipenuhi dengan imaginasi mistik semata.
Kisah ini banyak dibangunkan dengan kefahaman saintifik dan dapat memberi sedikit kelainan dalam logik akal yang berfikir. Malah saya turut berimaginasi untuk setiap kejadian yang boleh diterangkan melalui sudut pandang sains, tak seperti cerita hantu picisan yang terlakar di kaca TV sahaja.
Dari sudut gaya penceritaan pula, novel ini kelihatan cukup santai untuk difahami berselang-seli dengan lawak bersahaja yang meniti dari satu babak ke babak yang lain. Malah kefahaman mengenai Jin dari sudut pandangan Islam sendiri lebih senang untuk difahami malah dapat menyedarkan akan beruntungnya diri kita sebagai manusia. Berlipatkali ganda lebih baik daripada seekor Jin.
Yuda di Padang Maya juga mampu mengetuk hati saya tentang hakikat Islam dan kejadian kita sebagai seorang khalifah yang hebat yang telah diciptakan-Nya. Cuma diri kita yang sering sahaja terleka untuk setiap anugerah yang kita peroleh. Malah sanggup pula menyembah sesuatu yang sangat kerdil di pandangan Allah, Astaghfirullah Al-‘Azim…
hmm….i agree that it’s a good novel. but did not agree on “…diolah dengan baik sekali…”
Salam aNNdiNN. As for me, I love the way Xarine wrote his novel. Might be it’s not suit with some people to really understand it but not me. Special thanks to Xarine to produce this great masterpiece, I’m loving it
Novel nie…mmg mearik..sye rse terpegun ble membcanya…perkra yg diceritakn di dlm novel itu seolah-
olah…kte juga mengalaminya…