Banner
Zahrah de Tigris
This is my site Written by kakeru on May 16, 2008 – 6:40 am

 

The image “http://www.jemariseni.com/components/com_virtuemart/shop_image/product/87180803117323bf17ef9e33183e0871.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.

Buku ini ditulis oleh seorang wartawan yang bernama Khairyn Othman yang sedang melanjutkan pelajarannya di dalam bidang Kewartawanan dan Penulisan Kreatif di sebuah universiti di Glasgow , Scotland .

Kisah bermula dengan sifat degil dan semangat yang berkobar-kobar seorang perempuan yang bernama Khairunnisa (Nisa). Sama sekali dia tidak menyangka bahawa pemergiannya ke bumi bertuah yang punya Sungai Tigris itu menimbulkan pelbagai seribu satu rasa yang bertingkah.

Nisa, seorang insan berjiwa pendidik yang terlalu ingin memanfaatkan segala ilmunya buat membangunkan sahsiah dan peribadi diri anak-anak mangsa peperangan di Iraq .

Kehidupan yang sukar di alam peperangan membuatkan dia tidak dapat meneruskan cita-citanya sebagai guru setelah ledakan bom telah berjaya meletupkan sekolah tempat dia mengajar.

Mahu atau tidak, dia terpaksa menyandang tugas sebagai seorang penterjemah di sebuah hospital di Baghdad . Di sana hidupnya banyak dibentangkan dengan pelbagai sketsa sayu kanak-kanak kecil dan wanita yang tidak bersalah.

Hari-hari mereka dihidangkan dengan tubuh badan yang bermandi darah, jeritan kanak-kanak akibat rawatan tanpa bius yang amat menyayat hati.

Bersama-sama dengan teman serumah, Maura yang juga rakan sekerja yang lain, Dr. Mark, Dr. Patrick Devereux dan kakitangan hospital yang ada membuatkan mereka lebih rapat di bumi terasing ini.

Beberapa ketika kemudian, dia memohon kembali untuk menjadi salah seorang tenaga pengajar di kota Baghdad . Kehidupan di sini jauh lebih mencabar rupa-rupanya, dengan keadaan bekalan elektrik yang tidak menentu dan bekalan minyak yang semakin berkurang menyebabkan mereka sentiasa bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.

Terkadang jiwa Nisa terlalu lemah dengan keadaan perang yang menggila ini. Namun, sedikit sebanyak hatinya terubat dengan kata-kata sahabat baiknya Meryam, seorang muallaf yang turut menanam cita-cita yang sama di bumi Tigris.

Kepada Meryamlah tempat dia mengadu, menyemai kasih sayang dalam berukhuwwah sesama Muslim. Sayangnya, kisah kasih-sayang itu tidak lama.

Meryam telah diculik oleh sekumpulan penculik yang sering menangguk di air keruh. Pandangan mereka, orang luar yang bukan rakyat tempatan merupakan orang kaya, apatah lagi Meryam datang dari dunia Barat.

Keadaan yang mencemaskan ini membuatkan mereka bekerjasama dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kembali Meryam. Gandingan Ahmed Nourdeen, Dr. Patrick dan Taher amat kuat untuk mendapatkan Meryam ke sisi mereka kembali.

Namun, ketentuan taqdir mengatasi segalanya. Meryam telah pun mati di tangan penculik sebelum sempat ditukarkan dengan wang tebusan. Seorang doktor juga telah dijumpai mati di sebuah kereta yang dibawa oleh penculik, dipercayai mayat milik Dr. Patrick dengan bahagian kepala yang sudah pecah.

Tiada apa yang tinggal buat Nisa ketika itu, hanya cebisan kenangan bersama sahabat yang selalu di sisi, Meryam dan alunan lagu Alouette yang menerjah saban waktu.

Alouette, lagu berbahasa Perancis inilah yang sering didendangkan oleh Dr. Patrick buat pesakit ciliknya di hospital. Dendangan ini juga yang sering melagukan irama kasih sayang…agar mereka tahu, kasih sayang ini masih lagi milik mereka.

Sungguh, kisah ini kisah kasih sayang yang sukar untuk diungkapkan di bumi kering nan merekah bersimbah darah…

Ulasan Saya

Buku ini banyak mengundang pelbagai rasa di hati saya. Bagi saya, penulis telah menyampaikannya dengan tulisan yang terbaik untuk kita sama-sama menghayati trauma perang di bumi Iraq yang sedang bergolak.

Suasana alam yang penuh dengan bedilan bom-bom pada awal waktu dan di petang hari memang mencemaskan. Apatah lagi apabila melihat sendiri bagaimana keadaan sebenar mangsa-mangsa yang terkena bedilan, darah penuh bersimbah dengan badan yang sudah hancur luluh bersepai.

Saya seperti menonton sebuah drama perang yang tidak berkesudahan. Keadaan yang tidak stabil di alam perang yang menggila ini turut menimbulkan pelbagai fenomena yang menakutkan semua orang. Kepercayaan pun sudah tiada lagi untuk dihargai.

Harga minyak dan barang keperluan yang naik mendadak, kes rompakan yang berlaku di mana sahaja termasuklah kes-kes penculikan yang berlaku ke atas sesiapa sahaja dari negara luar memang merimaskan.

Itu belum lagi cerita mengenai bekalan elektrik dan api yang sering terputus rentetan daripada siri perang ini. Kes pembunuh berani mati juga turut mendapat liputan di pihak media.

Manakan tidak, kes ini sahaja bisa membunuh ribuan orang, apatah lagi jika terjadi di kawasan-kawasan awam. Tempat yang sering menjadi tumpuan ramai ialah seperti di pasar-pasar.

Dapatkah kita bayangkan jika itu semua terjadi depan mata kita? Sekali bom meletup, raungan penuh pilu pasti akan bersahut-sahutan.

Di sana ada ceraian daging-daging yang sudah hancur lumat, darah bagaikan air hujan yang berhamburan, jalanan itu penuh dengan mayat-mayat yang bergelimpangan.

Sanggupkah kita menghadapi itu semua? Bagaimana pula jika mereka ialah ibu bapa dan ahli keluarga kita?

Kisah pembunuhan berama-ramai di Amiriyah pula merupakan kisah tragis yang amat memilukan. Terasa bagai luluh jantung saya membaca kisah sebegini, benar-benar meruntun jiwa.

Kisah ini adalah kisah pembunuhan beramai-ramai di kawasan perlindungan bawah tanah yang menjadi tapak keraian sesama mereka. Ia bukanlah suatu pesta yang meriah buat golongan wanita dan kanak-kanak.

Sambutan Hari Isra’ Mikraj ini cuma sekadar tempat menjamu selera sambil bertukar-tukar kisah walaupun dalam suasana perang. Walaubagaimanapun, tempat yang dirasakan selamat itu tidaklah seperti yang diharapkan apabila berlaku bedilan yang tepat mengena ke bilik bawah tanah itu.

Bedilan itu telah menyebabkan mereka semua meninggal dunia di tempat kejadian. Semuanya disebabkan akibat tidak dapat menolak pintu ruang bilik bawah tanah itu, lantas mereka seperti terperangkap di ruang tertutup bersama api bedilan yang marak.

Kejadian tersebut telah merenggut nyawa seramai lebih kurang 400 orang dari golongan wanita dan kanak-kanak sekaligus. Ada juga seorang ibu yang terselamat kerana telah pun keluar terlebih dahulu untuk mengambil sehelai pakaian bersih buat si anak di rumahnya.

Namun nasib tidak menyebelahi anak-anaknya yang masih tidur di dalam ruang tersebut. Apa perasaan anda jika anda ialah ibu tersebut?

Apakah pula perasaan anda sekiranya nyawa kesemua 8 orang anak anda turut direnggut di dalam kejadian tersebut? Bagaimana pula jika anda tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalangnya?

Ketahuilah sahabat sekalian, itulah perasaan ibu tersebut sewaktu kejadian. Sudah ditakdirkan bahawa pintu ruang tersebut tidak dapat dibuka walaupun ibu tersebut telah berusaha menolaknya sepenuh tenaga…

Sahabat-sahabat sekalian, ingin saya bertanyakan soalan buat kalian. Jika anda seperti ibu itu, bisakah anda memaafkan mereka semua? Adakah maaf ini perkataan yang terbaik untuk dihulurkan buat mereka? Ayuh kita fikir-fikirkan…

Buat ingatan semua, ingin saya ingatkan sekali lagi bahawa kisah ini ialah kisah duka. Sukar untuk kita agak bilakah derita ini akan berakhir. Sudah lama rakyat bumi ini berduka, menderita.

Apakah tiada sedikit pun rasa di hati kita untuk menolong mereka? Jika tidak mampu sekali pun, mudah-mudahan sedekah sepotong doa kalian nanti bakal buat mereka tenang di sana . Amin.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • co.mments
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Fark
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • NewsVine
  • Netvouz
  • RawSugar
  • Reddit
  • scuttle
  • Shadows
  • Simpy
  • Smarking
  • Spurl
  • TailRank
  • Wists
  • YahooMyWeb


Posted in  

3 Responses »

  1. salam Kakeru,

    terima kasih atas review novel sulung saya. Risau juga dengan penerimaan pembaca novel Malaysia kerana genre saya agak berbeza dengan ‘mainstream popular’. Cinta yang saya promosi adalah cinta sejagat dan yang penting cinta sesama umat Islam.

    Semoga kita sentiasa ingat saudara-saudara satu agama dengan kita ye. Apa yang terjadi pada mereka tidak mustahil boleh jadi kepada kita. Semoga kita sentiasa bersatu padu. InsyaAllah.

    Terima kasih sekali lagi pada Kakeru sebab sudi review buku sulung saya. InsyaAllah buku kedua sedang dalam proses pembikinan.Doakan saya dapat ilham ye :)

  2. Salam Khairyn,

    Owh, thanx a lots! Sempat juga memberi komen di sini ya! Bagi saya, novel seperti ini yang saya nantikan selama ini, rasanya bumi Malaysia ni dah terlalu banyak novel cinta manusia yang mepunyai tema dan plot yang sama. Thus, kehadiran buku ini memang memberi makna kepada saya.

    Selain memartabatkan cinta sesama umat Islam yang memang dituntut, kita juga dapat menyelami perasaan saudara seislam kita di luar sana. Kepada pembaca yang pernah menjadi sukarelawan di negara mangsa perang dan bencana alam, ketahuilah bahawa jasa anda teramat mulia - satu penghargaan buat anda!

    Buat Khairyn, saya ucapkan terima kasih banyak2 kerana telah berjaya melakar satu kisah kehidupan yang menginsafkan dan berjaya menyuntik semangat ukhuwwah sesama umat Islam dan juga seluruh masyarakat di luar sana. Teruskan usaha anda, saya pasti akan menyokongnya!

    All the best,
    kakeru

    p/s: Khairyn, saya akan sertakan sebuah puisi tribute to them (mangsa perang) selepas ini, Insya-Allah. Jangan lupa menghayatinya nanti :)

  3. sayunya membaca review ini…betapa umat islam di iraq, palestin, chehya dan lain - lain terseksa, kita masih boleh bergelak ketawa…

    p/s: wah! penulis buku sendiri bagi komen…:D

Leave a Reply