Written by kakeru on February 29, 2008 – 11:42 pm
Ketika dalam perantauan, dia terlihat seorang wanita yang amat cantik. Untuk menarik dan mendapatkan perhatian wanita itu,pemuda itu bertekad untuk memenuhi apa juga kehendak. Apa juga yang diinginkan wanita itu, pemuda itu tangkas mengisi keinginan itu. Lalu, berjayalah pemuda itu memikat wanita itu lantas menikahlah kedua-dua pasangan itu. Maka berhiburanlah pemuda itu dalam dakapan wanita itu. Namun pemuda itu tidak puas juga. Keinginannya untuk memenuhi setiap kehendak wanita itu yang kini isterinya tidak lentur, malah makin meningkat. Hari berlalu menjadi minggu. Minggu ke bulan dan bulan ke tahun hingga tidak sedar pemuda itu bahawa usianya dimakan masa.
Setelah sekian lama di perantauan, tersentaplah pemuda itu bila dia dipanggil pulang. Maka pulanglah pemuda itu sebatang kara. Sebatang kara dengan tangan yang kosong dia mula merantau, begitulah keadaannya bila pulang. Sebatang kara dan tiada apa yang dikendung buat bekalan apatah lagi buah tangan. Terpinga-pinga keseluruhan dirinya menggigil ketakutan sehinggalah tidak dapat berkata-kata dan air matanya bercucuran. Hanya lahir kesalan yang amat sangat.
Begitulah keadaannya kita yang pulangke rahmat Allah s.w.t. dengan tiada apa bekalan buat diri. Apa yang hendak dipersembahkan ke hadrat Illahi? Kebesaran Allah tidak terjejas sedikit pun tanpa pemberian daripada makhluk-Nya. Hanya makhluknya yang rugi. Rugi kerana perantau ini sibuk dengan kecantikan dunia. Keinginan dunia itu dipenuhi hingga lupa akan tujuan sebenarnya dia merantau. Taksub dia dengan dunia yang diibaratkan Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemudiannya jika dinilai dengan kehidupan akhirat) tidaklah lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya Akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya hidup, kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” (QS 29:64)
(Dipetik daripada ruangan Al-Fikr, Majalah Millenia Muslim, Mac 2008)
Ulasan Saya
Terkadang kita selalu lupa untuk mengingati apa sebenarnya tujuan hidup kita. Perlu diingat bahawa kita ini memang seorang insan yang pelupa. Untuk itu, berpesan-pesanlah kepada kebenaran dan kesabaran sesama kita supaya kita selalu tersedar dan ingat akan tujuan kita diciptakan.
“Tidak Aku jadikan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.”



































